Terima Kasih Atas Kunjungan

Selasa, 15 November 2016

Puding Di raja

Ini adalah kali ketiga saya buat puding di raja..seronok dan satu kepuasan bila saya buat kawan-kawan memberikan komen yang positif..alhamdulillah.
Resepi Puding Raja (Rujukan: Laman Web Rasmi Majlis Daerah Pekan)
Bahan-bahan
    4 sikat pisang lemak manis – dibuang kulit
    1 cawan biji gajus – digoreng
    2-3 genggam urat emas/jala emas {resepi boleh dilihat di bawah}
    200g buah prun – dipotong empat
    Buah ceri merah/hijau
    Buah anggur
    2 sudu besar minyak sapi {untuk mengelakkan pisang daripada melekat}
    Minyak untuk menggoreng
Untuk Kuah Puding
    1 tin (410 g) susu cair/sejat {saya guna 2 tin susu cair Ideal}
    3 biji telur – diambil kuning sahaja {saya guna 5 biji telur kuning Gred B}
    Daun pandan – disimpul
    Air sebanyak ½ tin susu {Air saya gandakan sebanyak 1 tin susu}
    1-2 cawan gula (ikut rasa)
    Esen vanila
    {Saya menambah 1/4 cawan tepung kastard}
Cara memasak
Panaskan minyak dan minyak sapi untuk menggoreng dengan minyak yang penuh.
Goreng pisang sehingga kuning. Angkat dan letakkan di atas kertas minyak untuk meresap minyak    yang berlebihan.
Goreng biji gajus. {Saya goreng biji gajus dalam minyak yang sama goreng pisang tadi}
Kuah Puding
Pukul kuning telur bersama susu cair/sejat dan air. Tapis untuk membuang pusat putih telur.
Masukkan gula dan kacau sehingga gula larut. Masak di atas api kecil bersama daun pandan sehingga sederhana pekat. Masukkan sedikit esen vanila. Jangan guna api besar dan kacau selalu supaya tidak bergentel. Keluarkan daun pandan bila siap.
Cara Menghidang
Aturkan pisang goreng 2-3 lapis di dalam mangkuk. Taburkan urat emas.
Kemudian aturkan buah prun, ceri dan biji gajus. Tuangkan kuah ke atasnya apabila hendak dimakan.
Resepi Jala/Urai Emas (Rujukan: Laman Web Rasmi Majlis Daerah Pekan)
Bahan-bahan
    30biji telur ayam – diambil kuning sahaja {saya guna 20 biji telur Gred B)
    800g gula halus {saya kurangkan sehingga 400g}
    3 helai daun pandan
    8 cawan air {saya kurangkan menjadi 4 cawan air}
    Daun pisang untuk dibuat corong
Cara memasak
Tapis kuning telur dan pukul sedikit.
Masak gula bersama air sehingga hancur dan mendidih. Tapis dan kemudian masak bersama daun pandan sehingga pekat sedikit. Apabila air tersebut mendidih dan berbuih halus, uraikan atau pusing keliling periuk kuning telur dengan corong daun pisang atau corong tembaga ke dalam air gula tersebut.
Angkat dan tuskan.
Kiraikan urai emas di atas pinggan dengan menggunakan dua batang satay atau garfu.
Hidangkan.
Nota
    Jika air gula menjadi terlalu pekat, tambah dengan air panas

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Titipkanlah Kata Hulurkanlah idea
Kongsi cerita membawa bahagia
persahabatan terjalin kemesraan berputik
walaupun hanya sekadar alam maya

TERIMA KASIH TEMAN!!!!