Terima Kasih Atas Kunjungan

Jumaat, 21 Oktober 2016

TEKS UCAPAN OLEH : YDP PIBG SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN KAMPONG JAWA

 

MAJLIS GRADUASI & JAMUAN AKHIR TAHUN PROGRAM PENDIDIKAN KHAS INTERGRASI SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN KAMPONG JAWA 2016


TARIKH      :   24 OKTOBER 2016
HARI          :    ISNIN
TEMPAT    :    DEWAN JUARA SMKKJ



TEKS UCAPAN OLEH :
YDP PIBG SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN  KAMPONG JAWA





Assalamualaikum warahmatullahhiwabarakatuh.
Salam sejahtera dan salam satu Malaysia.
Terlebih dahulu, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada jawatankuasa pengelola Majlis Graduasi dan Jamuan Akhir Tahun Program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Menengah Kebangsaan  Kampong Jawa, yang telah berganding bahu menyumbang idea, tenaga, masa dan wang ringgit  untuk menjayakan majlis pada hari ini.
 Dengan perancangan yang  teliti, penglibatan dan kerjasama semua pihak, InsyaAllah majlis pada hari ini akan berjalan dan mencapai objektifnya. Majlis pada hari ini bukan sahaja meraikan murid-murid yang bergraduasi tetapi juga sebagai penghargaan kepada semua warga PPKI Sekolah Menengah Kebangsaan  Kampong Jawa, di atas usaha dan komitmen yang tidak berbelah bagi yang ditunjukkan selama ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Dalam era globalisasi ini, murid-murid mesti mempunyai semangat dan jati diri yang tinggi dan kental supaya dapat menghadapi pelbagai cabaran baru dalam dunia pendidikan yang sentiasa berubah-rubah. Ini adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan bagi memastikan bahawa murid-murid ini dapat bersama-sama dengan masyarakat perdana untuk menyumbang ke arah pembangunan dan kemakmuran negara. Dan mereka juga, dapat berfungsi sebagai individu yang berdikari dan berjaya dalam hidup serta mampu memberi sumbangan bakti kepada masyarakat dan negara.
Harapan saya agar semua murid dan guru Pendidikan Khas sentiasa bekerja keras bagi memastikan sekolah sentiasa bersiap siaga untuk terus mencipta kejayaan dalam bidang akademik, kokurikulum mahupun bidang-bidang lain. Seboleh-bolehnya bakat yang dianugerahkan tidaklah dipersiakan. Namun begitu, sahsiah terpuji dengan disiplin diri yang tinggi sahaja mampu memastikan kecemerlangan  warga Program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Menengah Kebangsaan  Kampong Jawa.
                        Kepada anak-anak yang diraikan, gunakan segala ilmu, kemahiran dan teruslah  berusaha hingga mencapai kejayaan setinggi mungkin. Ramai anak-anak khas yang telah berjaya dalam hidup. Jangan jadikan kekurangan anak-anak sebagai satu halangan untuk mencapai peluang yang lebih baik.
Saya berharap agar Majlis Graduasi dan Jamua Akhir Tahun Program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Menengah Kebangsaan  Kampong Jawa, yang diatur sedemikian merupakan satu usaha yang berterusan bagi menyemarakkan semangat dan memberi motivasi kepada murid-murid berkeperluan khas yang lain. Semoga mereka akan dapat mencipta pelbagai kejayaan bagi diri sendiri dan juga sekolah dalam apa jua bidang yang diceburi. Diharapkan majlis ini dapat diteruskan sebagai satu tradisi untuk memberi pengiktirafan di atas kejayaan murid-murid pendidikan khas yang lain.
Akhir kata, saya ingin mengucapkan selamat berjaya pada semua para graduan. Tahniah kerana anda telah berjaya menamatkan pendidikan  anda di Sekolah Menengah Kebangsaan  Kampong Jawa. Bagi murid-murid yang masih meneruskan persekolahan pada masa hadapan di Sekolah  Menengah  Kebangsaan  Kampong Jawa, teruskan berusaha dan menonjolkan bakat anda semampu yang mungkin. Harapan kami, semoga kerjasama dan sokongan daripada pelbagai pihak akan berterusan bagi merialisasikan perancangan dan maklamat murni ke arah mencapai keunggulan PPKI Sekolah Menengah Kebangsaan  Kampong Jawa.

Sekian, saya sudahi dengan wabillahhitaufikwalhidayah, wassalammualikum warahmatullahhiwabarakatuh. Terima kasih.

TEKS UCAPAN OLEH : PENGETUA SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN KAMPONG JAWA

MAJLIS GRADUASI & JAMUAN AKHIR TAHUN PROGRAM PENDIDIKAN KHAS INTERGRASI SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN KAMPONG JAWA 2016


TARIKH      :   24 OKTOBER 2016
HARI          :    ISNIN
TEMPAT    :    DEWAN JUARA SMKKJ



TEKS UCAPAN OLEH :
PENGETUA SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN  KAMPONG JAWA




Assalamualaikum  warahmatullahhiwabarakatuh.
Salam sejahtera dan salam terus menjulang Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Jawa.

Terlebih dahulu, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T  kerana dengan izinNya maka dapatlah kita berkumpul sekali lagi untuk meraikan Majlis Graduasi dan Jamuan Akhir Tahun Program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Jawa kali ke-2. Dengan perancangan yang teliti guru-guru dan pihak yang terlibat, insyaAllah majlis pada hari ini akan berjalan dengan lancar dan mencapai objektifnya. Semoga majlis graduasi dan jamuan akhir tahun ini, akan menjadi satu kenangan manis untuk semua warga PPKI Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Jawa, khususnya murid-murid PPKI.

          Tahniah diucapkan kepada 7 orang murid pendidikan khas yang berjaya menyarung jubah graduasi pada hari ini. Diharapkan, majlis ini akan mencetuskan satu semangat baru kepada mereka untuk terus berdaya saing dan mengharungi detik-detik kehidupan seterusnya. Saya dan seluruh warga pendidik Sekolah Menengah Kebangsaan  Kampong Jawa, mendoakan agar anda semua terus berjaya dan mencapai kegemilangan di peringkat yang lebih tinggi.
     
     Tuan-tuan, puan-puan dan para murid yang dikasihi sekalian.

Majlis graduasi ini diadakan khusus untuk meraikan dan memberi pengiktirafan kepada pelajar  Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Jawa, atas penglibatan mereka sepanjang berada di sekolah ini. Selama ini, mereka juga merupakan warga yang sama-sama terlibat dalam pelbagai aktiviti sekolah. Disamping itu juga, majlis ini diadakan bagi meraikan dan memberi penghargaan kepada semua warga PPKI Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Jawa, yang sentiasa memberi komitmen bagi memastikan PPKI Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Jawa terus cemerlang.
Untuk makluman semua, pada tahun ini terdapat di kalangan murid Pendidikan Khas SMK Kampong Jawa yang telah melakar beberapa kejayaan dalam pelbagai bidang atas daya usaha mereka dan bimbingan guru-guru yang penuh dedikasi, kreatif dan inovatif. Contohnya dalam bidang kurikulum murid kita turut terlibat dalam pertandingan Malaysia ICT Challenge for Special Needs 2016 di peringkat kebangsaan. Manakala di bidang kokurikulum pula, murid kita iaitu Nurul Shafiqa binti Saprisal telah dianugerahkan Anugerah penghargaan dari semua negeri di Kejohanan Sukan Paralimpik Malaysia-Sarawak kali ke-18 baru-baru ini. Disamping itu, kita juga turut terlibat dengan Kejohanan Sukan Padang dan Balapan Peringkat Kebangsaan pada tahun ini. Begitu juga, kita tidak ketinggalan turut sama di setiap pertandingan yang diadakan di peringkat daerah. Antaranya tempat ketiga kategori wanita di pertandingan Petangue  peringkat daerah,  kejohanan bowling, yang mana murid kita telah mendapat tempat pertama dan kedua kategori lelaki dan perempuan. Selain itu juga, buat pertama kalinya murid PPKI kita telah menyertai pertandingan tarian tradisional kreatif dan berjaya ke peringkat akhir.
Pada tahun ini juga, turut sama menitik beratkan kemahiran berasaskan vokasional iaitu kemahiran membuat roti dan apa yang membanggakan kita adalah permintaan roti amat menggalakkan terutamanya  dari Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia cawangan Shah Alam. Dan kita juga turut bekerjasama membantu mereka memberi ilmu kemahiran bermain angklung. Saya percaya dengan semangat semua warga PPKI, akan menjadikan PPKI Kampong Jawa ini, dikenali oleh masyarakat luar.
Semoga kejayaan yang dicapai akan menjadi pemangkin dan pembakar semangat kepada seluruh warga Program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong jawa, dalam meningkatkan pencapaian ke arah Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.
          Saya juga mengucapkan syabas  dan tahniah, kepada guru-guru dan pembantu pengurusan murid yang sentiasa tabah dan sabar dalam memberi didikan  dan melayan karenah murid-murid ini sehingga mereka tamat persekolahan.  Semoga  ilmu dan pengalaman yang diberikan akan dapat memberi manfaat kepada murid-murid ini agar mereka dapat sekurang-kurangnya mengurus diri sendiri setelah keluar dari alam persekolahan
                    Kepada anak-anak yang diraikan, gunakan segala ilmu, kemahiran dan terus berusaha hingga mencapai kejayaan setinggi mungkin. Ramai anak-anak  khas yang telah berjaya dalam hidup. Jangan jadikan kekurangan anak-anak sebagai satu halangan untuk mencapai peluang yang lebih baik. Seperti yang kita maklum, pelajar-pelajar ini juga ada potensi sendiri walaupun terdapat kekurangan.Tetapi saya percaya, dengan dorongan ibu bapa, guru-guru dan masyarakat mereka juga boleh berjaya seperti insan lain. Dan yang terlebih penting adalah mereka dapat berdikari dan mengurus kehidupan sendiri tanpa bergantung kepada orang lain.
Akhir kata, saya ingin mengucapkan selamat berjaya pada semua para graduan. Tahniah kerana anda telah berjaya menamatkan pendidikan  anda di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Jawa.

Sekian, saya sudahi dengan wabillahhitaufikwalhidayah, wassalammualikum warahmatullahhiwabarakatuh. Terima kasih