Terima Kasih Atas Kunjungan

Selasa, 4 Ogos 2015

Skrip Bacaan Bioadata Persaraan Pengetua SMK Demak Baru,Kuching

TEKS BACAAN BIODATA HARI PERSARAAN PENGETUA SMK DEMAK BARU.
TARIKH                 : 5 OGOS 2015
HARI                      : RABU
TEMPAT               : LOBI SMK DEMAK BARU

Izinkan saya untuk membaca biodata di dahului dengan lafaz bismillah.
Bismillahirahmanirahim…..

Pada tanggal 6 Ogos 1955 bersamaan dengan 17 Zulhijjah 1374 hijri,tarikh keramat bagi pasangan bertuah Hj Abdul Hamid bin Hj Bolok dan Hajah Zaleha bt Hj Yunus apabila dikurniakan seorang puteri  diberi nama Fatimah Hamid di kampong Bandarshah Jalan Datuk Ajibah Abol,Kuching juga dikenali sebagai Kpg Nombor-nombor.Merupakan anak pertama daripada 8 orang adik beradik terdiri daripada 2 perempuan dan 6 lelaki.

Beliau mendapat pendidikan awal di Merpati Jepang Council School dari darjah 1 hingga darjah 6 ,maka bermulalah pencarian ilmu yang pertama baginya.Detik waktu menginjak pantas dan tahun silih berganti.Setelah 6 tahun di sekolah rendah .lulus Sarawak Common Entrance Exam,beliau meneruskan pendidikan di peringkat menengah di Saint Mary’s Secondary School sehingga tingkatan 5.

Selepas itu beliau menyambung persekolahan ke Tingkatan 6 di Saint Thomas Secondary  School .Seterusnya beliau telah meneruskan pengajian asasnya di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) Tanjung Malim,Perak dalam pengajian Melayu dan Pendidikan Seni. Dari tahun 1978 hingga 1979.

Bermula dari sini beliau mula melangkah dengan lebih yakin dan berani untuk menempuh segala dugaan dan ujian dalam arena pendidikan yang penuh mencabar .Kata orang “Alah biasa tegal biasa” dan “genggam api biar sampai jadi abu “ begitulah semangat yang dimiliki oleh Pengetua yang disayangi ,Hajah Fatimah Hamid.

Memulakan tugas beliau sebagai pendidik di SMK Batu Lintang pada 1.5.1980 hingga 1.6.1982.Kepayahan dan kesukaran tidak mematahkan semangat beliau untuk belajar sehingga mampu mengenggam ijazah dalam bidang Ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia,Bangi.Selangor.
Selepas tamat pengajian,beliau telah berkhidmat sebagai guru biasa di SMK DPHA Gapor Stampin  pada 1.6.1985 hingga 15.5.1992.

Bak kata bidalan Melayu,benih yang baik dilempar di mana-mana pun tetap member hasil yang baik ,begitulah juga dengan beliau.Khidmat bakti beliau sentiasa ditagih lantaran ciri-ciri kepimpinan beliau telah sebati dalam diri serta semangat yang sentiasa membara dan tidak mahu mengalah.
Bermula 16.5.1992 sehingga 31.12.2004 beliau berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Unit Menengah di bahagian Penyeliaan Sekolah JPN .Atas khidmat cemerlang yang ditunjukkan beliau telah dilantik sebagai Ketua Unit di Unit Sekolah Menengah ,JPN bermula 1.1.2004 hingga 31.12.2004.  Bermula 1.1.2005 hingga 31.12.2010. kerjaya beliau terus bersinar apabila dilantik sebagai Ketua Sektor Pendidikan Khas dan Swasta di JPN.Sarawak.

Bakat kepimpinannya sungguh menyerlah berpegang dengan prinsipnya suka berterus terang dan hanya percaya kepada kejujuran.Beliau mempunyai wawasan cukup tinggi dan patut dicontohi .Justeru itu,beliau telah dilantik sebagai pengetua di SMK Demak Baru ,Kuching pada tanggal 1.10.2012 hingga 5.8.2015.Di sinilah destinasi terakhir beliau sebelum menamatkan persaraan.
Sikap prihatinnya terhadap anak bangsa tidak pernah luntur ditelan masa dimamah usia. Sentiasa ikhlas semasa menjalankan tugasnya dan tidak jemu dan lokek berkongsi ilmu dan wang ringgit.

Tenanglah tenang air di laut
Sampan kolek mudik di tanjung
Hati terkenang mulut menyebut
Budi yang baik rasa nak junjung.

Untuk Berjaya kita perlu mendaki setangga demi setangga sehingga Berjaya.Begitu jugalah kepimpinan dan kecemerlangan beliau memang terselah dan tidak boleh di sangkal lagi. Pada tahun 1998 sehingga 2002 beliau telah dilantik sebagai panel penemuduga Yayasan Tuanku Abdul Rahman,mewakili pengarah dan dilantik sebagai Bendahari Majlis Ketua Unit Sekolah Menengah Malaysia pada tahun 2006 hingga 2010.

Sepanjang perkhidmatan,beliau telah 3 kali dianugerahkan perkhidmatan cemerlang pada tahun 1995,2005 dan 2011.

Beliau juga telah dianugerahkan Sijil Berkhidmat di Ibu Pejabat selama 20 tahun. Atas jasa dan khidmat bakti beliau yang tidak berbelah bagi,beliau telah dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Bakti pada tahun 2010.

Beliau memiliki sifat tegas terutamanya dalam membuat keputusan tetapi berkrompromi dengan keputusan majoriti.sikap inilah menjadikan beliau amat disegani dalam kalangan keluarga dan rakan sekerja. Paling membanggakan ,sepanjang tempoh dalam perkhidmatan, tiada rekod cuti sakit dalam Buku Rekod Perkhidmatan beliau.

Demikianlah sedikit biodata yang diraikan Cikgu Hajah Fatimah Hamid yang akan menamatkan perkhidmatan beliau pada hari ini  .jutaan terima kasih dari kami kerana khidmat dan bakti yang tidak berbelah bagi untuk memastikan SMKDB sentiasa cemerlang.Semoga beliau mndapat ganjaran yang setimpal dari Ilahi dan diberi kesihatan serta kekuatan pada masa akan datang dalam mendepani hari mendatang.




Sekian.Salam kasih bertaut rindu.