Terima Kasih Atas Kunjungan

Rabu, 3 Februari 2021

Pantun Terima kasih



Tiba-tiba rasa nak cipta satu pantun untuk sendiri...lama tinggalkan blog kesayangan ni....  Agaknya pantun ni sesuai tak untuk majlis rasmi

Harum baunya wangian setanggi

Ditambah pula haruman kasturi

Keikhlasan hatimu kusanjung tinggi

Terima kasih kuzahirkan dari lubuk sanubari



TEKS UCAPAN YANG BERUSAHA TUAN HAJI HISHAMMUDDIN BIN SIRAT PENGETUA SMK KAMPONG JAWA

  

TEKS UCAPAN

YANG BERUSAHA TUAN HAJI HISHAMMUDDIN BIN SIRAT

PENGETUA SMK KAMPONG JAWA

RABU

3 FEBRUARI 2021

MAJLIS PERPISAHAN CIK ZARINA BINTI ISMAIL

PENOLONG KANAN HAL EHWAL MURID

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

 

1. Pertamanya, saya memanjatkan sepenuh kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah rahmat-Nya, dapat kita bersama-sama berhimpun dalam MAJLIS JASAMU DIKENANG bagi meraikan  Yang Berusaha Cik Zarina Binti Ismal,  Penolong Kanan Hal Ehwal Murid  yang akan meneruskan perkhidmatan beliau di SMK Bukit Tinggi,Klang,Selangor.

2. Sesungguhnya, majlis yang diadakan ini adalah sebagai satu tanda penghargaan dan pengiktirafan serta nukilan terima kasih dari warga SMK Kampong Jawa atas jasa beliau menabur bakti kepada sekolah selama ini.

3. Setelah hampir 2 tahun 5 bulan beliau  menabur bakti di SMK Kampong Jawa , pastinya dalam tempoh masa tersebut pelbagai peristiwa pahit-manis, suka-duka dan cabaran getir yang telah ditempuhi beliau dalam melaksanakan tugas sebagai Penolong Kanan  HEM.

4. Pegangan beliau dalam memastikan segala tugas yang diamanahkan kepada beliau dilaksanakan sehabis baik. Sesungguhnya segala komitmen, usaha dan sumbangan yang beliau tunjukkan wajar dijadikan panduan dan contoh kepada warga SMK Kampong Jawa.

5. Saya berbangga kerana beliau telah berjaya menggalas amanah dan tanggungjawab ini dengan baik dan sesempurna mungkin.

6. Semangat dan nilai-nilai positif inilah  perlu dipahatkan di hati sanubari warga SMK Kampong Jawa supaya aspirasi yang dituju adalah sealiran dan tidak terkeluar daripada landasan yang sepatutnya.

7. Saya amat menghargai segala sumbangan dan khidmat bakti Cik Zarina binti Ismail. Beliau saya kira seorang yang cekal hati dan memiliki aura positif dalam berhadapan dengan cabaran dan rintangan. Sifat seperti inilah yang perlu disemai dan disematkan dalam diri masing-masing.

8. Akhir bicara, mewakili seluruh Warga SMK Kampong Jawa, sekali lagi saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih  kepada Yang Berusaha Cik Zarina Binti Ismail atas segala jasa dan pengorbanannya selama berkhidmat di sekolah ini. Apa yang baik di bawa dan disebut ditempat baru dan mana yang tidak elok tinggalkan disini sebagai satu lipatan kenangan dan pengajaran.

9. Selamat Maju Jaya kepada  Yang Berusaha Cik Zarina Binti Ismail.

10.Saya sudahi dengan dua rangkap pantun

 

Riuh di awan sekawan Helang

Riang senada kongsi keriangan

Jasamu Cik Zarina tidak terbilang

Akan dikenang sepanjang zaman

Berangkat sampan ke Pulau Pandan

Mencari kepah untuk hidangan

Perpisahan ini bukan sempadan

Ikatan terjalin usah diputuskan

 

Sekian, Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi