
Pantun Budi
Baik bergalas mahupun tidak
Buli-buli bertali benang
Baik berbalas mahupun tidak
Asal budi sama dikenang.

Burung helang burung jentayu
Mengimbau naik ke atas palang
Bunga kembang akhirnya layu
Budi yang baik takkan hilang

Yang kurik itu kendi
Yang merak itu saga
Yang cantik itu budi
Yang indah itu bahasa

Anak merak bersarang di paya
Anak katik di sawah padi
Emas perak kebesaran dunia
Amal yang baik di bawa mati

cahaya redup menyegar padi
Ayam berkokok mengirai tuah
jikalau hidup tidak berbudi
Umpama pokok tidak berbuah

Anak merpati disambar helang
Terbang ketitir di dalam huma
Hariamu mati meninggalkan belang
manusia mati meninggalkan nama

Anak haruan berlima-lima
Mati ditimpa pungutr berdaun
Budi tuan kami tak lupa
Jadi kenangan bertahun-tahun

Bandar baru Seberang Perai
Gunung Daik bercabang tiga
hancur badan tulang bercerai
Budi yang baik dikenang juga.

Hinggap kedidi di hujung tanjung
Meniti-niti di hujung dahan
Tuan berbudi amat disanjung
Semoga menjadi kenangan zaman.

Ular lidi menyusur rotan
Menyusur jatuh ke dalam paya
Banyak budi tuan semaikan
Semoga tumbuh menyinar dunia.

Anak beruk di tepi pantai
pandai melompat pandai berlari
Biar buruk kain dipakai
Asal hidup pandai berbudi

Asam kandis dihiris-hiris
Manis-manis rasa isinya
Dilihat manis dipandang manis
lebih manis hati budinya.

Jeruk manis dimakan manis
Manis sekali kulit bijinya
Dilihat manis dipandang manis
Manis sekali hati budinya.

Ayam hutan terbang ke hutan
Tali tersangkut pagar berduri
adik bukan saudarapun bukan
hati tersangkut kerana budi.

Bila memandang ke muka laut
Nampak sampan mundik ke hulu
Bila terkenang mulut menyebut
Budi yang baik ingat selalu

Hendak memetik daun palas
Buah isi buah berangan
Berbudi bukan minta di balas
Hanya untuk kenang-kenangan.
-Anak Pantai-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Titipkanlah Kata Hulurkanlah idea
Kongsi cerita membawa bahagia
persahabatan terjalin kemesraan berputik
walaupun hanya sekadar alam maya
TERIMA KASIH TEMAN!!!!